NADAL melakar sejarah mencatat rekod 12 gelaran Roland Garros. FOTO Reuters
NADAL melakar sejarah mencatat rekod 12 gelaran Roland Garros. FOTO Reuters
AFP

RAFAEL Nadal mengakui kejayaan mencatat rekod 12 gelaran Roland Garros adalah salah satu detik istimewa selepas kecederaan pada awal 2019 membuatkan fizikal dan mentalnya tidak bermaya malah turut mempersoalkan cintanya terhadap sukan itu.

Pemain berusia 33 tahun itu menjulang gelaran Grand Slam ke-18 dengan kemenangan 6-3, 5-7, 6-1, 6-1 ke atas pemain Austria Dominic Thiem, mengulangi final 2018.

Nadal kini hanya ketinggalan dua gelaran di belakang Roger Federer yang mencatat pencapaian terbaik sepanjang zaman iaitu 20 kejohanan utama dan tiga di depan Novak Djokovic yang dikecewakan Thiem pada separuh akhir.

Bagaimanapun Nadal mengakui laluan bermasalahnya musim ini sebelum Terbuka Perancis mencetuskan kebimbangan baharu mengenai kemampuannya mempertahankan gelarannya di Paris.

“Saya tidak terlalu menikmatinya. Saya risaukan kesihatan saya. Secara fizikal dan mentalnya, saya tidak bermaya selepas Indian Wells,” kata Nadal.

“Saya terlalu negatif. Selepas Madrid dan Barcelona, saya terfikir mengenai apa yang patut saya lakukan. Saya mungkin berehat seketika dan menjalani pemulihan atau mengubah sikap dan menjalani pemulihan.”

Selepas tewas final Terbuka Australia kepada Djokovic di mana dia hanya menang enam permainan, penyingkiran pusingan kedua di Acapulco disusuli penarikan diri daripada separuh akhir di Indian Wells, apabila kecederaan lutut bermakna hajat untuk menentang Federer terpaksa ditangguhkan.

Kepulangannya ke gelanggang tanah liat menyaksikannya tewas separuh akhir di Monte Carlo, Barcelona dan Madrid sebelum menang di Rome.

“Ini adalah kemenangan paling memuaskan. Pada 2018 saya hanya bermain sembilan kejohanan dan menamatkan tujuh daripadanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 11:12 AM