Hadin ketuai cabaran FELDA berdepan PKNS. FOTO NSTP


KAPTEN FELDA United FC, Hadin Azman teruja apabila skuad itu bakal tampil dengan kesebelasan terbaik apabila melayan PKNS FC, Jumaat ini.

Pemain tengah itu berkata, ini kerana skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil buat kali pertama membariskan skuad utama yang diharapkan dapat merekodkan kemenangan ke atas kelab dari Selangor itu.

"Sebagai kapten, saya gembira kerana The Fighters akhirnya dapat menyenaraikan skuad utama selepas ramai daripada kami sering dihimpit masalah kecederaan.

"Ia termasuklah kecederaan dialami saya sendiri serta beberapa rakan lain sepanjang mengharungi saingan Liga Super dan Piala FA musim ini.

"Sebaik kembali menjalani latihan selepas menyambut Aidilfitri, semua pemain sudah pulih dan dapat diturunkan bagi aksi bertemu PKNS nanti," katanya.

Selain Hadin, antara pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan ialah Khairul Amri Kamal, Jasazrin Jamaluddin, Christie Jayaseelan dan Daniel Amier Norhisham.

Sebaik disahkan pulih daripada kecederaan, Mohd Nidzam sudah pasti menyandarkan harapan tinggi kepada semua pemain untuk memperbaiki kedudukan tercorot.

Hadin mahu rakan sepasukan memanfaat peluang beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Tun Abdul Razak (STAR) untuk mengecewakan PKNS.

"Kita sudah menjalani latihan dengan baik dan diharapkan percaturan jurulatih menjadi penentu kepada aksi Jumaat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 3:21 PM