FAZILLA (kiri) melarikan bola daripada kawalan pemain Czech di Banbridge, hari ini. — FOTO Facebook Konfederasi Hoki Malaysia
Ferzalfie Fauzi


SKUAD hoki wanita negara mengesahkan kedudukan sebagai naib juara Kumpulan A, Pusingan Akhir Siri FIH di Banbridge hari ini selepas menumpaskan Republik Czech 3-1.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia akan berdepan pasukan tempat ketiga Kumpulan B iaitu antara Perancis atau Ukraine bagi saingan playoff ke separuh akhir.

Pada minit ke-28, anak buah Dhaarma Raj Abdullah mendahului berpunca daripada kesilapan pertahanan lawan, Jindriska Reichlova yang cuba mengeluarkan bola tapi ditampan oleh Hanis Nadiah Onn sebelum Wan Norfaiezah Saiuti melepaskan pukulan kencang.

Czech berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-47 menerusi Adela Lehovcova yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysian Tigress mula mengatur serangan balas pantas dan memperoleh pukulan sudut penalti.

Kali ini Nuraini Rashid mengambil keputusan untuk tidak melepaskan pukulan terus sebaliknya melakukan hantaran pendek kepada Fazilla Sylvester Silin yang tidak mempersia-siakan peluang untuk mengatasi penjaga gol lawan Barbora Cechakova.

Fatin Shafika Sukri mengesahkan kemenangan bergaya Malaysia apabila melepaskan pukulan deras selepas menerima hantaran Nuraini pada minit ke-54.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 9:48 PM