KUBO kini berlatih dengan skuad Jepun di Sao Paulo, Brazil menjelang aksi Copa America. — FOTO AFP
Reuters

PENYERANG Jepun, Takefusa Kubo menyertai Real Madrid hari ini, dengan kelab La Liga Sepanyol itu menyanjung pemain berusia 18 tahun itu sebagai “seorang daripada pemain muda paling berbakat di dunia.”

Butiran mengenai perjanjian itu tidak didedahkan namun akhbar Sepanyol, Marca menyatakan Real membayar FC Tokyo 2 juta euro (RM9.4 juta) sebagai bayaran perpindahan dan Kubo dijangka menandatangani kontrak lima tahun.

“Takefusa Kubo akan beraksi dengan pasukan Castilla musim depan,” menurut kelab La Liga itu dalam laman web mereka.

“Secara teknikal seorang pemain tengah menyerang berbakat, dia mempunyai visi mengagumkan, kepantasan dan keupayaan mencipta gol.”

Kubo, yang melakukan penampilan sulung bersama Jepun menentang El Salvador awal bulan ini, menyinar bersama kelab pendahulu Liga J, FC Tokyo.

Dia kini berada di Brazil bersama skuad kendalian Hajime Moriyasu dalam persiapan menghadapi Copa America, yang bermula awal pagi esok. Aksi pertama Samurai Blue adalah menentang Chile, Isnin ini.

Kehadiran Kubo di Madrid bukan pengalaman pertamanya dalam kancah bola sepak Sepanyol, sesudah menyertai akademi terkenal Barcelona, La Masia pada usia sembilan tahun.

Diberi gelaran ‘Messi Jepun’, Kubo mempunyai masa depan di Nou Camp namun kembali ke Jepun selepas Barcelona didapati bersalah melanggar peraturan perpindahan pemain remaja dan dikenakan penggantungan urusan perpindahan pemain selama 14 bulan oleh FIFA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 8:43 PM