Marco Giampaolo. FOTO Agensi
AFP

MARCO Giampaolo meletak jawatan di Sampdoria dan akan memikul tugas sebagai jurulatih AC Milan dengan kontrak penjanjian selama dua tahun.

Laporan jurulatih itu menyertai gergasi Itali itu tersebar secara meluas menerusi media Itali, hari ini.

Pengendali berusia 51 tahun itu akan menyertai kelab yang sedang melakukan perubahan besar termasuk membawa bekas pemainnya, Zvonimir Boban dan Paolo Maldini bagi memikul tugas-tugas pengurusan pasukan.

Sebelum ini, Milan dibimbing seorang lagi bekas pemain, Gennaro Gattuso selama dua tahun sebelum dia meletak jawatan sebagai jurulatih bulan lalu selepas memacu skuad itu menamatkan saingan Serie A di tempat kelima.

Giampaolo dijangka diberi peluang dengan penjanjian selama dua tahun serta pilihan kepada tiga tahun selepas Presiden Sampdoria, Massimo Ferrero membenarkan dia menamatkan kontrak yang sah sehingga 2020 bersama kelab itu.

“Saya mahu berterima kasih kepada presiden Ferrero dan Sampdoria untuk tiga tahun dalam musim yang menakjubkan.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua kakitangan Sampdoria yang bekerja sama dengan saya sepanjang berada di Sampdoria,” kata Giampaolo menerusi laman web Sampdoria.

Sampdoria menamatkan saingan di tempat ke sembilan musim lalu dengan corak permainan dan taktikal diterapkan Giampaolo.

Milan akan berdepan bajet minimum untuk pembelian pada musim perpindahan pemain paling hampir berikutan syarat pembelian secara adil dan hak undang-undang oleh UEFA sama ada mereka beraksi di Eropah musim depan atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 10:04 PM