KHAIRUL Anuar layak ke Sukan Olimpik dalam acara recurve individu sekali lagi. — FOTO Yazit Razali
Azlan Muhammad Zain


HASRAT untuk menyaksikan Khairul Anuar Mohamad bergelar juara dunia tidak kesampaian apabila tumbang menerusi ‘shoot-off’ di tangan pemanah Amerika Syarikat, Brady Ellison pada final Kejohanan Dunia di ‘s-Hertogenbosch, Belanda, malam ini.

Bagaimanapun pencapaian sebagai pemenang pingat perak acara recurve individu lelaki sudah cukup membanggakan kerana ia pingat sulung Malaysia pada kejohanan itu.

Pemanah berusia 27 tahun itu memberikan cabaran sengit kepada Ellison yang menghuni ranking ketiga dunia apabila mengikat lawan dalam tiga set awal bagi membolehkan mereka seri 3-3.

Ellison yang sarat dengan pengalaman bagaimanapun menang set keempat untuk mendahului 5-3 sebelum Khairul Anuar memberikan kejutan menang set kelima bagi mengikat kedudukan 5-5 sekali gus mengheret ke penentuan shoot-off.


ELLISON (kiri) dan Khairul Anuar. — FOTO worldarchery.org

Lawan bagaimanapun tenang meraih mata maksimum (10 mata) menerusi panahan penentuan ketika Khairul Anuar akur dengan lapan mata sekali gus Ellison menang 6-5 bagi gelaran dunia sulungnya dalam acara individu.

“Saya gembira dapat melakukan panahan yang sempurna pada peringkat akhir. Sangat gembira selepas mengharungi pelbagai halangan dan kemenangan ini memang saya nanti-nantikan,” kata Ellison.

Bagaimanapun persembahan Khairul Anuar tetap membanggakan dengan kejayaan membawa pulang pingat perak selain menempah tiket individu untuk Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 10:54 PM