Agilan (kiri) menewaskan Yoshihiro dalam saingan tiga pusingan. FOTO ONE CHAMPIONSHIP
Meor Riduwan Meor Ahmad


"SAYA amat gembira dengan kemenangan ini. Ia bukan mudah selepas enam bulan berehat akibat kecederaan belakang dan menjalani pembedahan," kata atlet seni bela diri campuran (MMA) ONE Championship (ONE), Agilan Thani.

Bekas pencabar gelaran Juara Dunia ONE itu berkata, lawannya yang juga legenda seni mempertahankan diri dari Jepun, Yoshihiro Akiyama, 43, cukup kuat dan memberikan tentangan sengit dari mula hingga akhir dalam aksi tiga pusingan.

"Dia (Yoshihiro) sangat kuat dan saya cuba yang terbaik menyainginya.

Beberapa kali saya cuba menjatuhkannya tetapi dia kental bertahan sebelum berjaya ditewaskan," katanya yang kini berehat selama dua hingga tiga minggu sebelum kembali berlatih.

Sabtu lalu, Agilan dikenali sebagai 'Alligator' menewaskan Yoshihiro membuat kebangkitan sulung selepas tiga tahun setengah berehat, menerusi keputusan sebulat suara tiga pengadil selepas aksi sengit tiga pusingan.

Kemenangan itu meningkatkan rekod profesional atlet kelahiran Kuala Lumpur itu kepada 10-3.

Menurut Agilan, banyak pengalaman diraih dalam pertarungan itu menentang jaguh yang mempunyai nama besar dalam sukan seni bela diri dan juga di bidang lakonan itu.

"Saya berlawan mengikut perancangan di pusingan pertama.

Di pusingan kedua sebaliknya saya buat keputusan sendiri akibat terlalu letih sebelum kembali mengikut strategi di pusingan akhir.

"Kemenangan ini tidak membuatkan saya lupa diri sebaliknya perlu lebih fokus untuk berlatih dengan lebih kuat untuk persediaan menjadi atlet ONE Championship yang terbaik selepas ini.

Menurut kenyataan ONE Championship, Agilan tampil garang pada pusingan pertama dengan melancarkan tumbukan yang diselang-seli dengan percubaan menjatuhkan Yoshihiro.

Prestasi petinju negara berusia 23 tahun itu dilihat bertambah baik dengan mempamerkan beberapa kombinasi tinju bertenaga biarpun lawannya membalas dengan teknik judo.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 4:28 PM