DARI kiri: KHAIRY akan mencabar Megat Shahriman. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sah akan bertanding bagi merebut jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, 29 Jun ini.

Khairy yang menawarkan diri bertanding merebut jawatan nombor satu MPM itu pada saat akhir, akan mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Megat D Shahriman Zaharudin yang terlebih dahulu mengemukakan pencalonan.

Kekosongan jawatan itu berikutan penyandangnya, SM Nasarudin SM Nasimuddin membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu yang disandangnya sejak empat tahun lalu.

Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan MPM menerima dua borang pencalonan untuk jawatan presiden selepas tarikh tutup semalam.

SITI Zaharah mengesahkan MPM menerima dua borang pencalonan untuk jawatan presiden. FOTO MPM

“Bagi jawatan lain, kami sedang teliti dan akan diumumkan oleh Timbalan Presiden John Ng, esok,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu, Megat Shahriman menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden MPM, sedangkan Khairy menghantar borang pencalonan kira-kira 30 minit sebelum tarikh tutup pencalonan, semalam.

Pencalonan Khairy sebelum ini menimbulkan persoalan mengenai statusnya sama ada anggota dalam mana-mana persatuan sukan yang menganggotai MPM kerana perlembagaan badan induk itu menyatakan sesiapa juga calon bertanding perlulah menjadi anggota persatuan dan dicalonkan persatuan sukan di bawah MPM.

Namun, pencalonan Khairy dikatakan sah selepas beliau disahkan sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia yang dilantik pada AGM persatuan itu awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 10:50 PM