Aksi pemain kebangsaan, Mohd Fairuz Ab Rahman ketika perlawanan menentang Hong Kong, Sabtu lalu. FOTO Ihsan KRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


MISI skuad ragbi kebangsaan adalah meraih kemenangan pertama dalam perlawanan terakhir Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Pengurus Pasukan ragbi kebangsaan, Amir Amri Mohamad berkata, pemain negara merasakan ini adalah peluang terbaik untuk mencapai kemenangan di laman dan di hadapan penyokong sendiri.

“Semua memang kecewa pada perlawanan di Hong Kong. Ada peluang terbaik untuk mencapai kemenangan tetapi kita gagal.

“Jadi mereka berazam tinggi untuk menebus semula kekecewaan itu di Bukit Jalil untuk mencipta sejarah memenangi perlawanan menentang Hong Kong.

“Bukan pelengkap jadual, malah pemain kita sudah menjalani latihan sejurus pulang dari Hong Kong kelmarin,” katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Bola Sepak Hong Kong pada Sabtu lalu, anak buah Bradley Moni Mika memperaga aksi terpuji apabila mendahului lawan menerusi ‘try’ seawal minit ke-7 oleh Etonia Vaqa Saukuru, malah hampir mengejutkan juara bertahan itu sebelum tunduk, 30-24.

Semangat juang dipamerkan pemain negara amat tinggi apabila meraih 24 mata hasil tiga ‘try’, tiga ‘conversion’ dan satu penalti berbanding rekod tahun lalu, tewas kepada Hong Kong dalam kedua-dua perlawanan, 10-91 dan 8-67.

Pada 18 Mei lalu, Malaysia memulakan kempen ARC dengan kekalahan 14-52 dan 16-38 kepada Korea Selatan masing-masing di Stadium Namdong Asiad di Incheon, Korea Selatan dan di Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:57 AM