KIPRE (kiri) menanduk bola pada perlawanan Liga Super menentang Perak, di Stadium Perak.
Farah Suhaidah Othman


PERAK memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri selepas membenam Terengganu 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Pelawat menderita awal apabila beraksi 10 pemain dengan pemain import, Dechi Marcel dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Leandro Dos Santos.

Peluang itu dimanfaatkan skuad kendalian Mehmet Durakovic selepas meledak gol pertama menerusi tandukan Shahrul Saad hasil sepakan sudut Nor Hakim Hassan pada minit ke-34.

Skuad Penyu nyaris menyamakan kedudukan selepas tandukan Kipre Tchetche membolosi gawang namun gol itu dibatalkan kerana pemain dari Nigeria itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Pada babak kedua, tuan rumah sekali lagi mendapat peluang untuk mencetak gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-49 apabila Nor Hakim dikasari di kotak penalti, namun sepakan Careca ditepis penjaga gol, Ilham Amirullah Razali.

Perak bagaimanapun mengukuhkan cengkaman selepas tendangan percuma Nazirul Naim Che Hashim ditanduk Ronaldo pada minit ke-69.

Skuad kendalian Nafuzi Zain terus berputih mata apabila Perak meledak gol ketiga menerusi sepakan sudut J Partiban yang disudahkan Ronaldo pada minit ke-77.

Dua minit sebelum tamat, Terengganu akhirnya mendapat jaringan saguhati menerusi sepakan percuma Thierry Chantha Bin pada minit ke-88.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 11:48 PM