Johanna Konta tersekat di pusingan kedua. FOTO Reuters
AFP

JUARA Terbuka Perancis, Ashleigh Barty memulakan kempen musim gelanggang rumput dengan kemenangan, manakala persiapan Johanna Konta menjelang Wimbledon menerima tamparan hebat selepas tewas di Birmingham Classic, awal pagi ini.

Ashleigh menewaskan bintang meningkat dari Croatia, Donna Vekic dalam perlawanan pertama sejak menjuarai kejohanan pertama Grand Slamnya menerusi kemenangan 6-3, 6-4 dan mara ke pusingan kedua berdepan pemain Amerika, Jennifer Brady.

“Saya fikir ia berjalan lancar ketika saya melakukanya,” kata Ashleigh.

“Saya rasa sangat bagus dengan keadaan kaki di atas gelanggang rumput. Kami sudah agak lama tidak beraksi di atas gelanggang kerana keadaan cuaca namun disebabkan keadaan itu membuatkan kami jadi lebih baik kerana berasa segar dan seperti baru.

“Saya boleh beraksi dengan puas dan cuba dengan gaya perlawanan sendiri.”


ASHLEIGH Barty.

Pemain Australia itu, melonjak ke tempat kedua dalam ranking pemain dunia selepas mencatat kemenangan di Paris awal bulan ini dan mampu merampas kedudukan nombor satu hujung minggu ini jika dia mengatasi persembahan Naomi Osaka di England Midlands.

Bagaimanapun, Ashleigh menegaskan kejayaan juara Grand Slam tidak memberi kelebihan besar buatnya.

“Saya sendiri tidak berasakan tiada perbezaan,” tambahnya. “Saya masih Ash Barty yang sama seperti dua tahun lalu.”

Johanna yang turut melepasi kelompok empat terbaik di Terbuka Perancis, namun kemunculan semula di gelanggang rumput hanya bertahan di pusingan kedua selepas diketepikan Jelena Ostapenko 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 9:41 AM