DE Ligt menjadi idaman kelab ternama Eropah. - FOTO Agensi
Reuters

PERTAHANAN tengah Belanda, Matthijs de Ligt bersetuju dengan perjanjian menyertai juara Itali, Juventus dari Ajax Amsterdam, menurut Sky Itali hari ini.

Menurut laporan, Juventus akan membayar 62 juta pound (RM326.82 juta) untuk mendapatkan kapten Ajax berusia 19 tahun yang menjadi salah seorang tonggak membawa kelab Belanda itu ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara.

Dia menjadi pemain pertama ditandatangani pengurus baharu Juventus, Maurizio Sarri selepas dilantik menggantikan Massimiliano Allegri minggu lalu.

De Ligt berkata, pada awal bulan ini dia dipelawa oleh Cristiano Ronaldo untuk berpindah ke Juventus selepas tamat final Liga Negara-Negara yang menyaksikan Portugal menewaskan Belanda 1-0.

Media Sepanyol pula melaporkan pemain yang menjadi buruan kelab ternama Eropah itu dijangka menyertai Barcelona dan bergandingan dengan rakan sepasukan di Ajax, Frenkie de Jong, 22, yang bakal berpindah bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 8:49 PM