IGHALO (dua kanan) melakukan percubaan sambil cuba dikekang pemain Burundi, Elvis Kamsoba dan Gael Bigirimana. — FOTO Reuters
Reuters

NIGERIA memerlukan gol lewat pemain gantian Odion Ighalo sebelum menang 1-0 ke atas Burundi yang beraksi kali pertama pada pusingan akhir Piala Negara Afrika, awal pagi tadi.

Ighalo, yang menerima umpanan bijak Ola Aina, memperdaya penjaga gol Burundi, Jonathan Nahimana dengan rembatan mengelirukan pada minit ke-77, hanya empat minit selepas masuk pada perlawanan pembukaan Kumpulan B itu.

Ia mengecewakan Burundi yang enggan mengalah dan bertindak lebih bagus pada babak pertama dengan tandukan Frederic Nsabiyumva melepasi palang gol susulan sepakan percuma.

“Kami tidak dapat mempamerkan persembahan lebih bagus kerana Burundi amat tersusun,” kata jurulatih Nigeria, Gernot Rohr.


PEMAIN Nigeria meraikan kemenangan tipis ke atas Burundi di Stadium Iskandariah, awal pagi tadi. — FOTO AFP

“Kami tahu Burundi tidak kalah pada pusingan kelayakan dan kami sedar perlawanan pertama pasti sukar. Mereka tidak bimbang sekalipun jika kalah, mereka mengenali kami dan tahu bagaimana untuk bermain secara tersusun menentang kami.”

Nigeria menggantikan kapten John Obi Mikel dengan Ahmed Musa selepas sejam dalam usaha untuk menambah kepantasan di bahagian serangan namun penyudah mereka tetap mengecewakan.

Bagaimanapun, satu detik penuh inspirasi menjadi penentu. Aina mengelirukan pertahanan Burundi dengan hantaran menggunakan tumit dan memberi ruang kepada Ighalo untuk melakukan penyudah sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 9:50 AM