Hamilton (tengah) bersama trofi kejuaraan di podium disaksikan Bottas (kiri) dan Leclerc. FOTO REUTERS
Reuters

LEWIS Hamilton menjuarai Grand Prix Perancis di litar Paul Ricard, Le Castellet, hari ini ketika juara Formula Satu, Mercedes sekali mempamer dominasi mereka meraih kejayaan ke-10 berturut-turut dan penamat 1-2 untuk kali ke-50.

Perlumbaan yang hanya menawarkan sedikit keseronokan itu hanya menarik pada aksi di penghujung saingan menyaksikan pemandu Britain itu mendahului dari awal hingga akhir untuk melebarkan penguasaan kejuaraan di hadapan rakan sepasukan dari Finland, Valtteri Bottas kepada 36 mata.

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc menamatkan saingan di tempat ketiga dengan rakan sepasukan, Sebastian Vettel berada di tempat kelima tetapi meraih mata tambahan kerana melakukan pusingan terpantas.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen berada di tempat keempat pada perlumbaan berlangsung di litar selatan Perancis itu.

Juara dunia lima kali, Hamilton kini mempunyai 79 kemenangan karier, hanya kurang 12 di belakang rekod sepanjang masa dilakukan oleh Michael Schumacher ketika saingan musim ini berbaki 13 pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 11:14 PM