Pahang tidak turun kesebelasan terbaik bertandang ke Shah Alam. FOTO NSTP


SKUAD Pahang tidak menurunkan kesebelasan utama berdepan Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, esok.

Keputusan itu bagi memberi fokus bertandang ke Perak untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu ini.

Perkara itu disahkan pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang untuk memastikan beberapa pemain utama berada pada prestasi terbaik.

"Selain itu, ia bagi mengelak kecederaan untuk memastikan Pahang layak ke pentas final dan mempertahankan Piala FA yang dimenangi musim lalu.

"Namun, kami tidak akan memberi peluang mudah buat Red Giants untuk menang kerana pasukan ini turun dengan misi mengutip tiga mata.

"Pemain yang bakal mengambil alih tanggungjawab itu diharap dapat membalas kepercayaan untuk membantu pasukan," katanya.

Ditanya tahap kecederaan Dickson Nwakaeme, Mohammed Suffian berkata, penyerang import Nigeria itu tidak akan disenaraikan berdepan Red Giants.

Katanya, biarpun kecederaan Nwakaeme tidak serius tetapi khidmatnya amat ditagih apabila bertemu The Bos Gaurus nanti.

"Saya percaya pemain lain terutama Lazarus Kaimbi dapat bermain dengan lebih baik untuk memperkuatkan jentera serangan," katanya.

Pada pusingan pertama liga, skuad kendalian Dollah Salleh dan B Sathianathan terikat 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 22 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 3:52 PM