MAREGA (dua kanan) meraikan gol kedua bersama rakan sepasukan dengan tarian tersendiri di Stadium Tentera Suez, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

MALI menghasilkan tiga gol menakjubkan ketika mereka membenam Mauritania 4-1 pada Piala Negara Afrika di Suez, Mesir, awal pagi tadi, sekali gus memberikan pengajaran perit buat jiran mereka dalam aksi sulung di pusingan akhir.

Abdoulaye Diaby meletakkan Mali di depan pada minit ke-37 sebelum Moussa Marega menyempurnakan sepakan penalti beberapa saat sebelum rehat untuk membolehkan mereka mendahului 2-0.

Adama ‘Noss’ Traore menambah gol ketiga pada minit ke-55 sebelum digantikan pemain yang sama nama dengannya Adama Traore, yang kemudian meledak gol keempat pada minit ke-73.

Pada minit ke-72, El Hacen El Id melakar sejarah apabila merembat masuk sepakan penalti bagi gol sulung Mauritania pada kejohanan itu.


EL Id (kiri) mencipta sejarah sumbat gol pertama Mauritania pada pusingan akhir. — FOTO AFP

Mali, beraksi pada pusingan akhir buat kali ketujuh berturut-turut, muncul pasukan pertama menjaringkan lebih dua gol dalam satu perlawanan pada kejohanan itu dan turut memperagakan persembahan terbaik setakat ini.

“Kami menurunkan pasukan muda jadi kami tidak perlu terlalu berpuas hati,” kata jurulatih Mali, Mohamed Magassouba. “Kami perlu terus menyerang, perlawanan demi perlawanan, lawan satu demi satu.”

“Kami hilang keyakinan selepas gol pertama mereka, kehilangan bola beberapa kali, kami kurang agresif,” ujar jurulatih Mauritania, Corentin Martins.

“Malam ini amat mengecewakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 7:44 AM