SHAAKHMEDOV (tiga kanan) makin serasi beraksi dengan Terengganu FC musim ini. — FOTO Owee Ah Chun
Malik Muhamad


SELEPAS meledak hatrik ketika pasukannya seri 3-3 dengan Melaka United dua minggu lalu, perancang tengah Terengganu FC (TFC), Sanjar Shaakhmedov mengakui dia kian ‘bernafsu’ menjadi watak pemusnah apabila menentang Kuala Lumpur, malam esok.

Bekas pemain kelab Uzbekistan, Lokomotiv Tashkent itu juga mengintai peluang untuk muncul antara penjaring terbanyak Liga Super musim ini selepas mengumpul lima gol setakat ini, sama banyak dengan rakan sepasukan, Kipre Tchetche.

“Mungkin rezeki saya selepas meledak tiga gol ketika membantu pasukan mengutip satu mata bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat tempoh hari apatah lagi ketika itu kami ketinggalan.

“Justeru menentang Kuala Lumpur malam esok, saya tekad bekerja lebih keras selain mahu menghasilkan jaringan bagi membantu pasukan menang lebih-lebih lagi beraksi di depan penyokong sendiri.


SHAAKHMEDOV (tiga kanan) meraikan jaringan bersama rakan ketika menentang Melaka United, baru-baru ini. — FOTO Khairunisah Lokman

“Bagaimanapun gol bukan impian utama saya pada setiap perlawanan kerana apa yang lebih penting kami menang, siapa yang menjaringkan gol itu bonus buat mereka,” ujar Shaakhmedov.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Februari lalu, skuad Penyu menang tipis 1-0 hasil jaringan Igor Zonjic.

Pemain berusia 28 tahun dari Uzbekistan itu yang gemar melakukan percubaan dari jarak jauh untuk menghasilkan jaringan menyatakan keserasian dan kerjasama dalam pasukan antara elemen penting setiap perlawanan.

“Bola sepak satu permainan berpasukan, justeru kerjasama antara rakan sepasukan amat penting, jika tiada elemen itu sukar bagi saya untuk menghasilkan jaringan, begitu juga pemain lain,” jelas Shaakhmedov.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 12:09 PM