Pemain JDT II, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman (tengah) diasak pemain UiTM FC, Syed Ariff Syed Mohammad Uzir (kanan) pada aksi Liga Perdana. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) merampas kembali tangga teratas Liga Perdana daripada Sabah selepas menewaskan UiTM FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.

JDT II yang mengumpul 33 mata melakukan serangan awal pada minit kelima namun gagal disudahkan Nicolas Fernadez selepas menerima bola umpanan Syazwan Andik Ishak apabila merembat bola leret biarpun berada di dalam kotak penalti.

Asakan berterusan JDT II masih belum mampu menerbitkan keceriaan di kem pasukan itu apabila bola sepakan percuma Fernandez yang berjaya ditanduk Bruno Soares sekadar tersasar daripada gawang gol ketika penjaga gol pelawat, Nor Haziq Mohd Aris sudah tertewas.

Pelawat turut memiliki peluang terbaik selepas sepakan percuma kapten Zarko Kovac gagal ditangkap kemas penjaga gol, Haziq Nadzli yang terpaksa mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Tuan rumah membuka tirai jaringan selepas bola sepakan lintang Fazly Mazlan ditanduk kemas Ramadhan Saifullah Usman menewaskan Nor Haziq.

Skuad Merah Biru bagaikan belum berpuas hati dengan jaringan tunggal itu apabila mengasak benteng pertahanan pelawat menerusi gerakan di posisi sayap kiri dan kanan sambil Mohamad Ghaddar menjadi taruhan untuk menambah gol.

Gerakan solo Syazwan Andik yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti pada minit ke-57 hampir menambah jaringan buat tuan rumah namun Nor Haziq bertindak pantas untuk menampan bola.

Bagaimanapun Nor Haziq terpaksa akur dengan kehebatan JDT II apabila tewas buat kali kedua pada minit ke-59 selepas Ghaddar bijak memusing badan sebelum merembat kencang bola menerjah jaring.

Ketika aksi berbaki lima minit untuk ditamatkan, pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Park Yong-jun dilayangkan kad merah oleh pengadil Suhaizi Shukri apabila menendang Fernandez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 11:01 PM