KAPTEN Ghana, Andre Ayew (kiri) menyumbang satu gol pada aksi menentang Benin di Ismailia, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

PENYERANG veteran Benin, Mickael Pote menyumbat gol selepas 104 saat dan sekali lagi pada babak kedua ketika Ghana yang beraksi 10 pemain diikat 2-2 pada perlawanan menarik Piala Negara Afrika, awal pagi tadi.

Di antara gol Pote, pemain adik-beradik Andre dan Jordan Ayew meledak gol pada babak pertama buat Ghana, yang menyaksikan pertahanan John Boye dilayangkan kad merah selepas rehat di bandar raya Mesir, Ismailia.

Perlawanan terakhir daripada 12 aksi pertama kejohanan dwitahunan itu paling menghiburkan dengan Mesir menjadi hos selepas tuan rumah asal Cameroon gagal melakukan persiapan tepat pada masanya.

Juara bertahan Cameroon menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit untuk mengalahkan Guinea-Bissau 2-0 pada aksi terdahulu dan mereka mengungguli carta dengan tiga mata diikuti Benin dan Ghana, masing-masing satu mata.


POTE (kanan) memecah kebuntuan dengan gol pertama selepas hanya 104 saat menentang Ghana. — FOTO AFP

Pote meluru menyambut hantaran dari tengah, melepasi cabaran dua pertahanan Black Stars sebelum menewaskan penjaga gol Richard Ofori pada aksi permulaan yang mengagumkan.

Namun Ghana hanya mengambil masa tujuh minit untuk menyamakan kedudukan ketika adik-beradik Ayew bertindak mencipta gol dengan Jordan melakukan umpanan kepada Andre, yang merembat kencang kaki kiri ke penjuru gol.

Jordan meletakkan Ghana di depan tiga minit sebelum rehat apabila menyambut satu hantaran jauh, memecut mengatasi seorang pemain pertahanan sebelum menyepak kencang melepasi jangkauan Fabien Farnolle, seorang lagi pemain veteran Benin.

Ghana menerima tamparan 10 minit selepas rehat apabila Boye dilayangkan kad kuning kali kedua oleh pengadil dari Tunisia dan dibuang padang.

Susulan sepakan sudut, Pote menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-63 bagi menyamakan kedudukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 8:04 AM