DATUK Karim Ibrahim.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

KETIKA 'angin perubahan' pucuk pimpinan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dilihat bertiup kencang, calon presiden, Datuk Karim Ibrahim mencabar lawannya, Datuk SM Muthu untuk berdebat di televisyen.

Ia dilihat bukan saja langkah profesional menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pemilihan penggal 2019-2021 Ahad ini, malah boleh memberi peluang kedua-dua calon menjawab dakwaan serta menjelaskan visi dan misi masing-masing.

"Buat apa tulis di media. Saya sedia nak debat di televisyen. Dia kemukakan soalan, saya akan jawab biar rakyat tahu.

"Kemudian saya pula tanya soalan berkaitan olahraga, apa perancangan dan program disediakan serta soal kebajikan atlet. Berani dia datang? "Nak jadi presiden kita kena lihat kewibawaan, boleh jawab soalan wartawan dan orang ramai," katanya dihubungi hari ini.

Menurut Karim, segala persoalan dikemukakan Muthu tidak dibangkitkan dalam majlis.

"Sekarang dekat dengan pemilihan baru nak beri kenyataan," katanya.

Untuk rekod Karim dan Muthu menerajui KOM selaku presiden dan timbalan presiden selama dua penggal sejak 2014.

Pada pemilihan Ahad ini, jawatan timbalan presiden akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim dan naib presiden, yang juga bekas ratu trek kebangsaan, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Seramai 39 perwakilan daripada 13 anggota gabungan layak mengundi pada pemilihan itu sempena AGM KOM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:59 PM