SYAHIR terima surat pengguguran daripada PSM.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

KEM sepak takraw negara bergolak apabila dua tekong utama, Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak digugurkan.

Menurut sumber, kedua-dua tonggak skuad negara berkenaan digugurkan dengan alasan disiplin.

"Apa yang saya mendapat tahu, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengadakan mesyuarat malam tadi dan membuat keputusan mengejut mengugurkan kedua-duanya.

"Alasan yang diberikan adalah berkaitan dengan disiplin. Mungkin membabitkan kehadiran semasa latihan selepas cuti sambutan Hari Raya Aidilfitri tempoh hari," tambahnya.

Bagaimanapun menurutnya lagi, ia turut berkait dengan pemotongan elaun dikenakan terhadap pemain yang menimbulkan perasaan tidak puas hati.

Syahir menerusi akaun Facebook memuatnaik surat pengguguran yang diterimanya PSM bertarikh hari ini.


MUHAMMAD Zulkifli.

Menurut surat berkenaan, dia digugurkan sebagai atlet negara dan dikeluarkan dari skuad sepak takraw kebangsaan serta digantung sementara daripada melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sukan berkenaan.

Tindakan drastik PSM dilihat memberikan impak besar kepada persiapan skuad negara terutamanya menjelang temasya Sukan SEA Filipina yang semakin hampir.

Kedua-duanya sudah membuktikan kemampuan menyumbang bakti kepada negara apabila meraih emas di Sukan SEA 2015 dan 2017 dalam acara regu.

Gandingan mereka bersama Farhan Adam dan Azlan Alias turut memastikan emas Malaysia di Sukan Asia 2018 sekali gus menamatkan kemarau 24 tahun negara di temasya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:45 PM