NUR Hazirah (dua dari kanan) dan Nur Aina (kanan) dalam kelompok 20 pemain terbaik.
Nor Hairulnizam Wahid

SAINGAN kompetitif dalam kalangan pemain remaja di Terbuka Singapura tidak menghalang wakil negara untuk menempatkan diri dalam kelompok final master esok.

Bagi kategori remaja perempuan, juara Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia April lalu, Gillian Lim mengetuai cabaran wakil negara apabila menempatkan diri dalam kelompok 20 pemain terbaik, begitu juga dengan Nur Aina Kamalia Abdul Ayub, Nur Hazira Ramli dan Nurul Ayunni. Nevern Nataneel pula mengungguli saingan kelayakan remaja lelaki, membawa cabaran negara bersama Muhd Syazirol, Wan Syahmi Razin, Megat Zaqrul Haiqal Megat Zairudin dan Akmal Qayyum dalam saingan membabitkan 24 pemain terbaik.

Mereka perlu berdepan kelompok lawan yang majoritinya didominasi atlet tuan rumah dengan jatuhan pin tertinggi akan menentukan kejuaraan.

“Ukuran skor agak rumit dan kami sudah memiliki pemain yang sudah mengesahkan tiket ke final dan ada di antara mereka masih mencuba untuk melayakkan diri,” kata Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok ketika dihubungi.

“Cabaran terlalu sengit, apa saja boleh berlaku.” Turut berlangsung kategori terbuka yang mempertaruhkan nama besar sukan tenpin boling negara yang bakal menamatkan pusingan kelayakan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 10:17 PM