Rafiq bersama piala kemenangan. FOTO MTBC
Nor Hairulnizam Wahid


JAGUH tenpin boling negara, Rafiq Ismail akhirnya menamatkan kemarau kejuaraannya tahun ini dengan menjulang gelaran sulungnya pada edisi ke-51 Kejohanan Terbuka Singapura hari ini.

Rafiq yang juga Olahragawan 2018 menjuarai kategori Terbuka Lelaki dengan menewaskan pemain Korea Selatan, Kim Jun Young 188-180 pada aksi stepladder.

"Terima kasih. Gembira dapat gelaran untuk tahun ini. Tak sangka menang," kata Rafiq ketika dihubungi.

"Jatuhan pin pada tiga game pertama agak rendah, saya rasa agak kurang semangat tetapi bangkit dengan jatuhan pin lebih baik pada lima game selepas itu.

"Ketika menentang pemain Korea sewaktu stepladder, saya dapati dia banyak melakukan split jadi saya bermain dengan tenang kerana keadaan lane yang sukar. Skor pun tak tinggi ."

Kegagalan Rafiq menjulang sebarang sebarang gelaran sebelum ini mencetuskan persoalan mengenai prestasi semasa anak muda kelahiran Kuala Lumpur itu apatah lagi dengan pelbagai pencapaian diraihnya tahun lalu antaranya cemerlang di Sukan Asia Jakarta dan mencatat sejarah sebagai juara dunia.

Namun kebimbangan itu terjawab dengan aksi tenang Rafiq ketika melakukan balingan.

"Aksi menakjubkan daripada Rafiq sepanjang minggu ini dan dia berhak meraih kemenangan itu," ulas Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok.

"Saingan begitu sengit di sini dan Rafiq mempamerkan aksi sempurna."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:21 PM