Nur Amirull (tengah) juara lepas beramai-ramai elit bersama Akmal (kanan) dan Sofian. FOTO PKBM
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki muncul juara kebangsaan 2019 acara lepas beramai-ramai elit, hari ini.

Pelumba berusia 27 tahun berkenaan menamatkan cabaran sejauh 163 kilometer dari Kuala Kubu Bharu ke Bukit Fraser dengan masa empat jam enam minit 53 saat.

"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukan yang berusaha keras sepanjang perlumbaan. Kami mengikut perancangan yang ditetapkan dan berjaya menyudahkannya dengan cemerlang.

"Sejak awal saya bersama beberapa pelumba melakukan pemecahan dari kelompok besar. Cabaran semakin sengit sehingga permulaan pendakian di Bukit Fraser namun saya bertahan sehingga ke garisan penamat," jelasnya.

Ia adalah kejayaan keduanya bergelar juara kebangsaan selepas melakukannya pada 2015.

TSG dilihat menjalani persiapan rapi dalam meraih kejuaraan terutamanya ‘latihan keras’ selama enam hari bermula dari Kuala Terengganu ke Tanah Merah menyusuri Gerik, Ipoh serta Kuala Kubu Bharu.

Kejayaan berkenaan turut mencerahkan peluang Nur Amirull untuk disenaraikan ke Sukan SEA Filipina kerana laluan pada edisi ke-30 adalah berbukit.

Tempat kedua diraih pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Akmal Hakim Zakaria manakala pelumba Selangor, Sofian Nabil Omar Bakri, ketiga.

Saingan wanita menyaksikan pelumba PDRM, Jupha Somnet muncul juara diikuti pelumba Terengganu, Nor Aisyah Zubir dan Nur Azrenna Ahmad Jumry ketiga.

Kejohanan Kebangsaan Lebuhraya 2019 berakhir hari ini dengan mempertandingkan acara lepas beramai-ramai dan ujian masa bagi lelaki dan wanita serta elit dan remaja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:36 PM