ANDY Murray dan Serena Williams.
AFP

GANDINGAN bekas pemain nombor satu dunia Andy Murray dan Serena Williams akan menentang pemain Jerman Andreas Mies dan Alexa Guarachi dari Chile pada pusingan pertama acara beregu campuran di Wimbledon.

Mies, 28, baru saja mencipta kejutan menerusi gandingan dengan Kevin Krawietz untuk menjulang gelaran Terbuka Perancis menewaskan gandingan tuan rumah Jeremy Chardy dan Fabrice Martin secara straight set.

Alexa, pemain kelahiran Amerika Syarikat berusia 28 tahun pula mempunyai rekod sederhana meskipun menjulang acara beregu Terbuka Switzerland tahun lalu dan mara ke final Piala Istanbul musim ini.

Murray yang kembali beraksi selepas pembedahan pinggul mengumumkan dia bergandingan dengan Serena yang membentuk gandingan handalan hari ini.

“Ia pasti hebat,” kata Murray.

“Saya gembira dapat kembali cergas dan sihat.

“Apa yang berlaku tahun lalu, anda tidak tahu apa yang menanti, jadi ia satu peluang yang hebat. Saya tidak sabar menantinya.”

Pemain berusia 32 tahun itu yang menang dua daripada tiga gelaran Grand Slam di Wimbledon sudah pun menyertai acara beregu lelaki di Wimbledon di mana dia bergandingan dengan pemain Perancis Pierre-Hugues Herbert.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 9:44 PM