BUFFON ketika menjalani ujian kesihatan di Turin. FOTO AFP
BUFFON ketika menjalani ujian kesihatan di Turin. FOTO AFP
AFP

BEKAS penjaga gol Itali Gianluigi Buffon kembali ke Juventus dengan kontrak selama setahun selepas menghabiskan tempoh semusim di Paris Saint-Germain.

Penjaga gol berusia 41 tahun itu yang akan menjadi nombor dua di belakang penjaga gol Poland Wojciech Szczesny, sebelum ini menghabiskan 17 musim bersama kelab Turin itu, menjulang sembilan gelaran Serie A dan beraksi dalam tiga perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

“Selamat kembali, Gigi!” kata Juve dalam kenyataannya.

“Hari itu, 19 Mei 2018. Itulah hari di mana semua orang mengalirkan air mata: apabila Gigi mengucapkan selamat tinggal kepada Juventus, peminat dan begitulah sebaliknya.

“Ia ucapan selamat tinggal buat seorang yang lebih daripada sekadar kapten, tetapi legenda dan simbol kepada kelab ini.

“Mungkin setiap daripada kami mengharapkan, dan pada akhirnya menyedari bahawa ikatan yang terjalin di antara kami sejak bertahun lamanya tidak ditakdirkan terlerai. Itulah halnya yang berlaku.”

Penjaga gol veteran, yang menjulang Piala Dunia pada 2006 dan menjadi pemain dengan penampilan terbanyak Itali dengan 176 perlawanan, menyertai PSG musim panas lalu dan beraksi dalam 25 perlawanan semua kejohanan, menjulang gelaran Ligue 1 dan kejohanan penutup tirai Trofi Juara-Juara.

Gelaran liga musim lalu adalah yang ke-10 dalam karier Buffon menambah koleksi trofi yang dimenanginya dalam bola sepak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 11:44 PM