Skip this ad x
NEYMAR ketika beraksi bersama PSG musim lalu. — FOTO Reuters
Reuters

PRESIDEN Barcelona, Josep Maria Bartomeu menyatakan kelabnya sedar Neymar mahu meninggalkan Paris Saint-Germain untuk kembali ke juara La Liga itu namun kelab penyerang Brazil itu enggan menjualnya.

“Kami sedar Neymar mahu meninggalkan PSG tapi kami juga tahu PSG tak mahu dia pergi, jadi tiada guna untuk mengikatnya,” kata Bartomeu pada sidang akhbar semalam.

Bartomeu turut mendedahkan pertemuan antara CEO Barca, Oscar Grau dan ketua eksekutif Atletico Madrid, Miguel Angel Gil Marin mengenai pembelian penyerang Perancis, Antoine Griezmann, yang mengumumkan Mei lalu dia akan meninggalkan Madrid.

Klausa tebus kontrak Griezmann merudum daripada 200 juta euro (RM929 juta) kepada 120 juta euro (RM557 juta), namun Bartomeu menyatakan kelabnya mahu mencapai persetujuan tanpa menebus kontrak pemain itu.


PRESIDEN Barcelona, Josep Maria Bartomeu. — FOTO Reuters

“Semalam kami ada pertemuan di Madrid, Gil Marin dan Oscar Grau berbincang dan kami bertanyakan sebarang kemungkinan untuk berunding mengenai Griezmann,” katanya.

Griezmann menolak perpindahan ke Barca tahun lalu, mendedahkan dia kekal di Atletico dalam satu dokumentari yang disiarkan di televisyen bertajuk “The Decision.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 12:42 PM