IGHALO (kanan) menjaringkan gol ketika mengatasi Cameroon pada pusingan 16 terakhir Piala Negara Afrika di Stadium Iskandariah, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

ODION Ighalo meledak dua gol selain mengumpan gol kemenangan sumbangan Alex Iwobi ketika Nigeria menyingkirkan juara bertahan Piala Negara Afrika, Cameroon 3-2 pada perlawanan menarik di Iskandariah, Mesir, awal pagi tadi.

Ighalo, penyerang berpangkalan di China, menyumbat masuk gol mudah pada minit ke-19 namun Cameroon kendalian Clarence Seedorf membalas menerusi Stephane Bahoken (m-41) dan Clinton Njie (m-44) dengan dua gol pantas sebelum rehat.

Nigeria menyamakan kedudukan apabila Ighalo merembat voli gol keduanya (m-63) dan kemudian menjadi pengumpan kepada Iwobi yang meledak masuk gol kemenangan tiga minit kemudian untuk menempah pertembungan tidak dijangka pada suku akhir menentang Afrika Selatan, yang mengejutkan tuan rumah Mesir 1-0 di Kaherah.

“Ia perlawanan sukar tapi bagusnya kami menang. Walaupun mereka mendahului 2-1 kami masih percaya boleh menjaringkan gol dan bangkit,” kata Ighalo, tatkala jurulatih Gernot Rohr memuji daya tahan Super Eagles.


IWOBI (dua kiri) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan. — FOTO AFP

“Saya fikir kami mendominasi pada awal saingan dan menjaringkan gol yang bagus. Pada hujung babak pertama kami hilang tumpuan dan Cameroon menggunakan kesempatan itu,” kata Rohr.

“Tapi pasukan muda saya terus berjuang dan tidak berputus asa.”

Seedorf kecewa dengan permulaan lembap Cameroon sekalipun beliau tidak mampu menyalahkan usaha pemainnya.

“Saya berasa amat kecewa dan juga marah kerana saya fikir kami agak tertekan buat beberapa ketika, tapi saya perlu menghargai apa yang dilakukan pemain hari ini,” katanya. “Ia tidak mencukupi.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 11:02 AM