MAHREZ (kiri) meledak gol kedua pasukannya di Stadium 30 Jun, Kaherah. — FOTO Reuters
AFP

PEMAIN sayap Manchester City, Riyad Mahrez menyumbang gol buat Algeria untuk membantu mereka mara ke suku akhir Piala Negara Afrika dengan kemenangan 3-0 ke atas Guinea di Kaherah, awal pagi tadi.

Youcef Belaili meletakkan Desert Foxes di depan pada minit ke-24 dan bekas pemain terbaik tahunan Afrika, Mahrez menambah gol kedua selepas 57 minit pada aksi pusingan 16 terakhir di Stadium 30 Jun.

Pemain gantian Adam Ounas baru berada di padang lima minit apabila dia melengkapkan kemenangan bergaya itu dengan berbaki lapan minit, menyudahkan satu hantaran silang leret sekali gus mengecewakan penjaga gol Ibrahim Kone.

“Saya fikir kami mempamerkan permainan mantap menentang pasukan sebagus Guinea. Kami tidak melepaskan sebarang gol dan menyumbat tiga,” kata Mahrez.


BELAILI (kanan) meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan Baghdad Bounedjah. — FOTO Reuters

“Ia malam yang amat bagus buat kami dan kami gembira mengatasi pasukan yang tidak mudah untuk ditangani.”

Ketika tuan rumah Mesir dan Maghribi kendalian Herve Renard tersingkir mengejut pada pusingan 16 terakhir, ramai berpendapat Algeria mampu menjuarai kejohanan itu selepas kali pertama dan terakhir menang pada 1990.

Mereka negara tunggal dengan rekod 100 peratus selepas menewaskan Kenya, Senegal dan Tanzania pada perlawanan peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati.

Algeria akan berdepan sama ada Ivory Coast atau Mali pada suku akhir di Suez awal pagi Jumaat ini dan jika berjaya, bertemu Nigeria atau Afrika Selatan bagi memburu tempat ke final pada 19 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:09 AM