AMADA (dua kanan) meraikan gol pertamanya bersama rakan sepasukan di Stadium Iskandariah. — FOTO Reuters
AFP

MADAGASCAR yang tampil kali pertama pada pusingan akhir Piala Negara Afrika meneruskan perjalanan mengagumkan mereka apabila menang menerusi penentuan penalti ke atas Republik Demokratik Congo selepas seri 2-2 bagi memastikan tempat ke suku akhir di Iskandariah, Mesir, awal pagi tadi.

Jaringan mengagumkan Ibrahim Amada meletakkan Madagascar di depan selepas sembilan minit di Stadium Iskandariah namun DR Congo membalas pada minit ke-21 apabila penyerang berpangkalan di China, Cedric Bakambu menanduk masuk gol ketiganya dalam dua perlawanan.

Kapten Madagascar, Faneva Andriatsima menanduk masuk gol buat pasukan kepulauan Lautan Hindi itu pada minit ke-77 sebelum Chancel Mbemba menyamakan kedudukan pada minit terakhir susulan sepakan sudut.

Percubaan penalti pemain DR Congo, Marcel Tisserand dan Yannick Bolasie kedua-duanya melepasi palang ketika Madagascar menang 4-2 untuk bertemu juara empat kali Ghana atau juara 2004, Tunisia bagi memburu tempat ke separuh akhir.


SEPAKAN penalti Bolasie (kiri) melepasi palang. — FOTO Reuters

“Saya mengucapkan jutaan tahniah kepada pemain, terutamanya selepas kami terpaksa menangani gol penyamaan pada minit terakhir masa sebenar,” kata jurulatih Madagascar, Nicolas Dupuis.

“Kami tidak begitu bagus seperti menentang Nigeria. Kami hilang sedikit sentuhan penyudah tapi lawan kami banyak mencetus kesukaran buat kami.”

Beliau berkata: “Saya fikir 25 juta rakyat akan berparti di negara kami. Kami mahu melangkah sejauh mungkin dan berseronok.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:31 AM