FATEHAH berpeluang bukti kemampuan dalam dua kejohanan lagi.
Azlan Muhammad Zain

EMPAT pelumba elit trek negara termasuk Fatehah Mustapa diberikan peluang sehingga Oktober terakhir bagi membuktikan kemampuan mereka.

Menurut Setiausaha Kehormat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Ashakari Abu Noor, mereka akan menyertai dua kejohanan antarabangsa bagi membuktikan kemampuan.

"Exco PKBM selepas menerima laporan dari jurulatih menetapkan mereka sekurang-kurangnya perlu memenangi pingat pada dua kejohanan disertai ini," jelasnya selepas mesyuarat penilaian prestasi atlet di Majlis Sukan Negara (MSN).

Selain Fatehah, prestasi Farina Shawati Mohd Adnan, Muhammad Khairil Nizam Rasol dan Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin menjadi tumpuan selepas gagal menyerlah sejak kebelakangan ini.

Kecuali Farina Shawati yang meraih emas dalam acara pecut berpasukan, tiga pelumba berkenaan yang menyertai Piala Trek Asia di Taiwan gagal menyerlah.

Mereka akan menyertai Kejohanan Grand Prix Asia Tenggara di Nilai, penghujung Ogos disusuli Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan pada Oktober.

"Nasib mereka akan ditentukan selepas dua kejohanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 11:30 PM