ZAHA (tengah) menewaskan penjaga gol Mali, Diarra pada pusingan 16 terakhir Piala Negara Afrika. — FOTO AFP
AFP

WILFRIED Zaha menyumbat gol tunggal untuk membantu Ivory Coast mengatasi Mali 1-0 pada pusingan 16 terakhir Piala Negara Afrika yang hambar di Suez, Mesir, awal pagi tadi.

Pemain sayap Crystal Palace itu memastikan Ivory kekal tidak kalah menentang Mali pada kejohanan itu ketika dia merembat masuk pada minit ke-76 untuk menempah tiket suku akhir menentang Algeria.

Bagaimanapun, juara 2015 itu perlu bertindak lebih bagus jika mereka mahu merangkul kejuaraan kedua dalam tempoh empat tahun ketika rangkaian serangannya yang terdiri daripada Zaha, Nicolas Pepe dan Jonathan Kodjia gagal menyinar.

“Kami akan menikmati kemenangan ini, ia tidak mudah menentang pasukan sebagus Mali,” kata jurulatih Ivory Coast, Ibrahim Kamara.

ZAHA (tengah) meraikan jaringan tunggalnya bersama rakan sepasukan di Suez. — FOTO AFP

“Kami mengharungi babak pertama yang sukar apabila kami gagal memecah masuk. Kami biarkan semua itu berlalu dan akhirnya mampu menggunakan kesempatan pada masa tepat.”

Zaha memecah kebuntuan dengan baki suku jam terakhir apabila sepakan jauh penjaga gol Sylvain Gbohouo melepasi benteng Mali yang tergamam sekali gus menyaksikan pemain buruan Arsenal itu menewaskan penjaga gol lawan Djigui Diarra.

“Kami menangani perlawanan dengan sempurna dan mencipta banyak peluang tapi penyudah kami teruk hari ini,” rungut jurulatih Mali, Mohamed Magassouba.

“Ia hari yang buruk buat kami. Satu-satunya peluang mereka ada disudahkan. Malah saya tak katakannya sebagai satu peluang, ia lebih kepada penyerang yang menggunakan kesempatan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 7:42 AM