Frank Lampard adakan perlawanan persahabatan Chelsea di Ireland. FOTO Agensi
AFP

FRANK Lampard dinafikan kemenangan pada penampilan pertama sebagai jurulatih Chelsea selepas Bohemians menjaringkan gol lewat untuk memaksa kedudukan seri 1-1 pada aksi persahabatan, semalam.

Lampard menyenaraikan dua skuad pada babak pertama dan kedua perlawanan di Dublin, Ireland itu dengan memberikan peluang terhadap deretan pemain muda membuktikan potensi mereka.

Pemain antarabangsa Belgium, Michy Batshuayi, yang menghabiskan tempoh selama 18 bulan sebagai pemain pinjaman di Borussia Dortmund, Valencia dan Crystal Palace mengambil peluang itu untuk membuktikan ketajamannya apabila membuka tirai jaringan.

Tetapi di minit-minit terakhir permainan, Eric Molloy menyumbat gol penyamaan untuk kelab yang beraksi di Liga Ireland itu.

Chelsea selepas ini dijadual bertemu St.Patrick di ibu negara Ireland itu, Sabtu ini sebelum memulakan siri jelajah ke Jepun untuk bertemu Kawasaki Frontale dan juara Sepanyol, Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 9:14 AM