Federer meraikan kejayaan selepas menewaskan Nadal dalam aski separuh akhir di Wimbledon. FOTO Reuters
AFP

ROGER Federer melangkah ke final Wimbledon buat kali ke-12 selepas menewas seteru lama Rafael Nadal ‘dalam salah satu pertembungan yang digemarinya’, 11 tahun selepas dia tewas dalam pertembungan epik dan diikhtiraf terhebat pada 2008 bagi perebutan kejuaraan di All England Club.

Pemain berusia 37 tahun yang memenangi lapan kali kejuaraan mengatasi lawan 7-6 (7/3), 1-6, 6-3, 6-4 dalam pertembungan kali ke-40 buat kedua-duanya untuk melangkah ke final Grand Slam ke-31 bertemu penyandang juara, Novak Djokovic.

Pilihan utama dan juara empat kali, Djokovic mara ke final Wimbledon buat kali keenam, dan kejohanan utama kali ke 25, selepas menewaskan pemain pilihan ke-23 dari Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-2, 4-6, 6-3, 6-2.

“Jelas sekali teramat tinggi,” kata Federer apabila ditanya untuk menilai tahap perlawanan terkini pertembungan dengan Nadal.

“Ia sememangnya amat terhebat untuk beraksi menentang Rafa di sini. Ia pastinya akan menjadi salah satu pertembungan yang paling saya gemari dan diingati kerana beraksi menentang Rafa dan ia adalah di Wimbledon.”

Federer pemain ketiga tertua yang beraksi di final Grand Slam selepas Ken Rosewall berusia 39 tahun tampil pada 1974 di final Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, dia terpaksa berkerja keras jika mahu mencatat kejuaraan utama buat kali ke-21 apabila menentang juara Slam sebanyak 15 kali, Djokovic dalam pertembungan 25-22 dalam karier.

"Novak adalah juara bertahan dan dia sudah mempamerkannya minggu ini,” tambah Federer. “Dia berada pada tahap terbaik. Saya akan cuba dan memaksanya berkerja keras namun ia mungkin sukar dalam perlawanan bertemu pemain nombor satu itu. Namun saya sangat teruja menanti pertembungan itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 7:53 AM