X
Sifan Hassan catat rekod baru larian. FOTO Reuters
Sifan Hassan catat rekod baru larian. FOTO Reuters
Reuters

ATLET Belanda, Sifan Hassan memecah rekod berusia 23 tahun bagi acara lari jarak jauh wanita selepas mencatat 4 minit 12.33 saat, mengatasi 4:12.56 yang dicipta atlet Russia, Svetlana Masterkova di Zurich pada 1996.

Sifan, 26, sebelum ini dilihat gagal memecah rekod pada kejohanan larian yang disertai namun menamatkan larian dengan melakar sejarah baru buatnya.

Aksi perlumbaan dinamakan “Berani seperti Gabe Mile” sempena memberi penghormatan kepada bekas pelari jarak sederhana Amerika Syarikat, Gabe Grunewald yang meninggal dunia akibat kanser bulan lalu pada usia 32 tahun.

Tayangan di skrin besar di ruang stadium sebagai tribute kepada Gabe sebelum perlumbaan bermula tidak menjejaskan tumpuan larian Sifan yang berpindah ke Belanda selepas meninggalkan Ethiopia sebagai pelarian ketika berusia 15 tahun.

“Saya yakin saya berlari dengan pantas, namun peringkat awal pada jarak 800 meter (m) agak perlahan, selepas itu saya tidak memikirkan ia rekod dunia.” kata Sifan.

“Apabila saya melepasi garisan penamat saya agak terkejut. Selepas berlari dengan baki kira-kira 400 m, dan mencatat rekod dunia, ia memberikan saya lebih keyakinan untuk 5000 m.

“Saya mahu menggandakannya dalam acara 1500 dan 5000 di Doha (di kejohanan dunia pada September) dan cara saya menamatkan larian pada jarak 400 terakhir, amat menakjubkan.”

Pelari Britain, Laura Weightman di tempat kedua dengan catatan peribadi terbaiknya (4:17.60) dalam perlumbaan yang menyaksikan empat rekod kebangsaan berjaya dilakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 9:07 AM