Simona muncul pemain pertama Romania julang Grand Slam. FOTO REUTERS
Reuters

PENANTIAN Serena Williams untuk menyamai gelaran perseorangan wanita ke-24 Grand Slam berterusan selepas Simona Halep mengejutkan pemain Amerika Syarikat itu 6-2, 6-2 pada aksi final berat sebelah Wimbledon, malam tadi.

Simona, 27 yang beraksi penuh bersemangat memanfaatkan beberapa kesilapan dilakukan oleh juara tujuh kali itu untuk muncul pemain Romania pertama menjulang gelaran Wimbledon.

Dia mendahului 4-0 pada aksi permulaan perlawanan itu dan kekal kental sepanjang pertarungan menyaksikan Serena tidak banyak mendapat ruang menyainginya.

Serena cuba bangkit pada set kedua tetapi Simona langsung tidak tergugat sejak lima perlawanan terakhir sebelum pertarungan berakhir selepas 56 minit.

Ia adalah percubaan tahun kedua Serena beraksi pada final untuk menyamai rekod Margaret Court menjulang 24 gelaran Grand Slam.

Tahun lalu, dia tewas kepada Angelique Kerber.

Kekecewaan Serena berterusan apabila tewas pada final Terbuka Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 11:01 PM