AKSI Chanturu (kanan) mengekang kelincahan pemain Pahang, Nor Shahrul Idlan Talaha (tengah) dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak pada Mac lalu.

FELDA United FC berdepan tugas sukar mencipta kemenangan ke atas Pahang dan Kedah dalam baki dua perlawanan Liga Super.

Pemain tengah The Fighters, S Chanturu mengakui dua pasukan terbabit menjadi halangan terakhir mereka mengutip mata untuk kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

"Kami akan berikan yang terbaik bagi memastikan kemenangan milik FELDA United apabila bertemu skuad Tok Gajah dan Lang Merah.

"Kutipan mata maksimum dalam dua baki perlawanan sangat penting untuk mengekalkan kami dalam saingan Liga (Super) musim depan," katanya.

Ditanya peluang meraih tiga mata di Stadium Darul Makmur Rabu ini, Chanturu tidak mahu alasan bermain di tempat lawan membuatkan The Fighters gagal beraksi cemerlang.

Katanya, keutamaan skuad itu ialah mempertajamkan jentera serangan dan tengah, manakala bahagian pertahanan kekal bertahan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

"Ketika ini, saya tidak mahu komen kekuatan dan kelebihan dimiliki Pahang kerana fokus utama kami ialah untuk mendapatkan tiga mata.

"Sudah pasti Pahang memiliki banyak kelebihan kerana mereka beraksi di tempat sendiri tetapi tidak mustahil kami mampu merekodkan kemenangan," katanya.

Selain FELDA United, PKNP FC dan Kuala Lumpur (KL), masing-masing memburu kemenangan untuk mengelak diturunkan ke Liga Perdana musim depan.

Berbanding PKNP dan KL yang hanya berbaki satu perlawanan, FELDA United memiliki kelebihan dua perlawanan untuk mengutip mata maksimum bagi mengesahkan tempat di Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 1:06 PM