Mohammed Suffian mahu Pahang menyerlah di Kuantan. FOTO NSTP
Jentera tengah Pahang mampu tembusi FELDA United. FOTO NSTP


JENTERA tengah Pahang perlu memperkemaskan skuad itu apabila melayan kunjungan FELDA United FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam esok.

Persembahan mantap ketika menang 3-2 ke atas PKNS FC dan seri 1-1 berdepan Terengganu FC (TFC) perlu diteruskan jika mahu merekodkan kemenangan.

Gandingan Nor Azam Azih, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Saddil Ramdani dan Zuhair Aizat Mohd Nazri membantu menghasilkan gol.

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang mahu jentera tengah mempamerkan prestasi lebih bagus untuk memastikan kemenangan buat pasukan.

"Kita dapat lihat apabila Kecik (Wan Zaharulnizam) mengambil alih peranan Safuwan Baharudin, dia dapat membantu jentera serangan, terutamanya ketika berdepan TFC Sabtu lalu.

"Begitu juga Nor Azam serta Saddil dan Zuhair Aizat juga mampu memberi ancaman kepada TFC dan tidak terkecuali berdepan FELDA United, sumbangan mereka amat diharapkan," katanya.

Namun, Mohammed Suffian mengingatkan skuad itu tidak memandang mudah keupayaan The Fighters dijangka memberi saingan sengit.

Katanya, The Fighters yang kian terdesak sudah pasti tampil dengan asakan bertali arus ke kubu dalam usaha meraih tiga mata.

"Saya harap pemain dapat bermain bagus kerana kemenangan akan mengesahkan status sebagai naib juara Liga Super musim ini," katanya.

Pada perlawanan malam esok, skuad kendalian Dollah Salleh dijangka mengekalkan barisan pemain sama yang beraksi di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Ini kerana penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme masih belum cergas selepas baru pulih daripada kecederaan, manakala Safuwan pula digantung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 4:35 PM