POGBA memanaskan badan bersama rakan sepasukan di Perth, Australia kelmarin. - FOTO Agensi.
Agensi

OLE Gunnar Solskjaer yakin beliau mampu mendapatkan yang terbaik daripada Paul Pogba jika bintang Manchester United itu kekal di Old Trafford.

United hanya akan melepaskan Pogba kepada Real Madrid atau Juventus jika mereka dapat menyediakan £170 juta (RM869 juta) untuk mendapatkan pemain Perancis itu.

Pogba dan ejennya, Mino Raiola tidak berahsia mengenai hasratnya untuk berpindah tetapi Solskjaer yakin beliau boleh menyuntik motivasi kepada pemain termahal United itu dengan menjadikannya pemain utama kelab musim depan.

“Saya boleh memberikan dia cabaran baharu,” kata pengurus United itu. “Paul pemain yang hebat, dia bukan budak bermasalah. Jika dia dapat beraksi seperti ketika peringkat awal saya datang ke sini, dia pasti memberikan kemenangan kepada kami.

“Saya tak terkejut dengan apa diperkatakannya kerana kami sudah banyak kali bertemu dan saya tahu apa yang difikirkannya.”

Bercakap ketika jelajah pramusim United di Perth, Solskjaer memberi bayangan akan mencari pengganti penyerang, Romelu Lukaku jika pemain Belgium itu dijual kepada Inter Milan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:54 AM