ZII Jia bertemu Chen Long pada pusingan kedua Terbuka Indonesia. — FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengekalkan rekod cemerlang ke atas Khosit Phetpradab apabila menumpaskan pemain Thailand itu pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di Jakarta, hari ini.

Kemenangan 21-14, 21-13 itu yang kedua antara mereka dengan Zii Jia turut menang pada suku akhir Terbuka Taiwan dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Zii Jia berdepan laluan sukar pada pusingan kedua apabila berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long yang sebelum itu bergelut untuk mengetepikan pemain tuan rumah, Tommy Sugiarto 22-20, 14-21, 21-17.

Turut cemerlang perseorangan wanita negara, Soniia Cheah yang melakukan kejutan menumpaskan pemain ranking ke-15 dunia dari China, Cai Yan Yan 21-18, 21-17.


SONIIA jumpa pemain Jepun pada pusingan kedua. — FOTO Eizairi Shamsudin

“Ia satu kemenangan yang amat baik buat saya pada pusingan pertama dan berharap mampu mempertingkatkan aksi untuk pusingan seterusnya.

“Hari ini memang saya ada melakukan beberapa kesilapan mudah terutama di set kedua, lawan saya pula mempertingkatkan kepantasan namun saya berjaya mengawalnya dengan baik,” kata pemain ranking 37 dunia itu.

Soniia akan berdepan pemain nombor dua dunia, Nozomi Okuhara dari Jepun pada pusingan kedua esok dan berdasarkan rekod dia tidak pernah menang dalam enam pertemuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 7:20 PM