PENINJU negara dalam misi buru pingat pada Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok.
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: Dua peninju Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor dan Mohamad Azeem Ismail menyasarkan membawa pulang pingat pada Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok yang bermula semalam hingga 29 Julai ini.

Mohammad Rifdean, 17, pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 akan berentap dalam kategori 48 kilogram (kg) manakala Mohammad Azeem, 22, bagi kategori 63.5 kg.

Mereka berlepas ke Bangkok bersama ketua jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin semalam dengan misi membawa pulang pingat seperti mana pernah dilakukan pemenang pingat emas kejohanan itu pada 2016, Nur Amisha Azrilrizal, 17.

Mohammad Rifdean yang ditemui ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Muaythai Perak berkata, dia menyasarkan untuk membawa pulang emas walaupun mengetahui bakal menghadapi cabaran dari sembilan negara yang berentap dalam kategori disertainya itu.

“Dari segi kecergasan dan persediaan, saya sudah berada pada tahap terbaik dan ia akan direalisasikan pada hari kejohanan nanti sahaja, dalam gelanggang apa pun boleh berlaku dan saya perlu fokus.

“Jika tidak dapat emas pun, sekurang-kurangnya saya pulang dengan pingat, namun keyakinan perlu ada untuk membawa pulang emas walaupun sedikit gementar,” katanya.

Bagi Mohammad Azeem, kejohanan pertama kali disertainya itu akan menjadi medan untuk meningkatkan pencapaiannya selepas hanya memperoleh pingat gangsa pada SUKMA tahun lalu.

Katanya, walaupun sedikit gementar kerana bakal bersaing dengan peninju-peninju hebat terutama dari tuan rumah, namun semangat diberikan Bernard akan dijadikan azimat sebaik melangkah ke gelanggang.

Sementara itu, Bernard berkata, kejohanan itu akan menjadi penentu atlet yang akan dipilih untuk mewakili negara ke Sukan SEA Filipina, akhir November ini, dan yakin kedua-dua peninju itu akan terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 8:00 AM