ALCACER (kiri) meraikan jaringannya bersama Lukasz Piszczek di Stadium Notre Dame. - FOTO AFP
AFP

DUA jaringan babak kedua pemain Denmark, Thomas Delaney dan Jacob Bruun membolehkan Borussia Dortmund menewaskan Liverpool 3-2 pada aksi pertama jelajah gergasi Liga Perdana itu di Amerika Syarikat, pagi tadi.

Dalam cuaca panas di Stadium Notre Dame, Indiana, kelab Bundesliga, Dortmund menghukum kealpaan pertahanan juara Eropah itu yang kehilangan beberapa tonggak.

Pemain Brazil, Roberto Firmino dan Alisson tidak menyertai The Reds susulan kempen Copa America selain Mohamed Salah dan Sadio Mane yang baharu sahaja menamatkan misi Piala Negara Afrika.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyenaraikan beberapa pemain muda menentang bekas kelabnya sebelum melakukan 10 pertukaran pada babak kedua.

Dortmund mendahului pada minit ketiga selepas Paco Alcacer memanfaatkan kelalaian pertahanan Liverpool, Nathaniel Clyne dengan merembat kencang dari jarak dekat.

Liverpool bangkit selepas itu dengan serangan lebih berbahaya menerusi Ryan Kent dan Harry Wilson.

Kent hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-10 selepas mendapat hantaran Alex Oxlade-Chamberlain namun rembatannya diselamatkan penjaga gol Dortmund, Martin Hitz.

Liverpool akhirnya menembusi gawang lawan pada minit ke-35 hasil kombinasi menarik Kent dan Wilson.

Hantaran Fabinho ke dalam kotak penalti dibayangi Kent dan bola pantas ditolak masuk dengan tenang oleh Wilson.

Walaupun menguasai 45 minit pertama, Liverpool sekali lagi ketinggalan selepas Dortmund menghukum kerapuhan pertahanan dengan dua gol pantas.

Delaney salah seorang pemain yang dimasukkan pada babak kedua meletakkan Dortmund di depan pada minit ke-53 hasil serangan pantas yang memerangkap benteng Liverpool.

Enam minit kemudian, Bruun Larsen yang menerima hantaran ke belakang Marius Wolf menjadikan kedudukan 3-1 selepas merembat kencang dari jarak dekat.

Jaringan itu memaksa Klopp melakukan pertukaran dengan mengeluarkan 10 pemain selepas sejam perlawanan.

Penalti Rhian Brewster pada minit ke-75 selepas Ben Woodburn dijatuhkan mengurangkan defisit tetapi Liverpool gagal mencari gol penyamaan selepas itu.

Liverpool akan menentang kelab Sepanyol, Sevilla dalam perlawanan kedua daripada tiga aksi jelajah Amerika Syarikat pada pagi Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 11:39 AM