ZULFADLI. FOTO Mikail Ong
ZULFADLI. FOTO Mikail Ong
Datuk Seri Jalani Sidek

AKHIRNYA apa yang dibimbangkan muncul juga apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada minggu lalu menolak permohonan rayuan kes mengatur perlawanan membabitkan dua pemain negara, Zulfadli Zulkiflli dan Tan Chun Seang.

Bermakna kekal jugalah hukuman penggantungan untuk Zulfadli daripada sebarang kejohanan kompetitif selama 20 tahun dan denda sebanyak AS$25,000 (RM82,140).

Chun Seang pula digantung selama 15 tahun dan denda sebanyak AS$15,000 (RM61,604). Apa lagi yang boleh saya perkatakan. Hukuman itu sangat lama untuk Zulfadli dan Chun Seang. Tetapi itulah harga yang mereka berdua perlu bayar akibat gelojoh berkiblatkan wang berbanding prestasi di atas gelanggang.

Sayang seribu kali sayang kerana kedua-dua pemain ini mempunyai bakat besar. Zulfadli sebagai contohnya pernah diangkat mampu menggantikan Datuk Lee Chong Wei. Tapi nak cerita panjang sejarah lalu pun sudah tak guna juga.

Kini kedua-duanya bagi saya perlu lupakan saja dunia badminton. Kejarlah apa saja karier lain selain badminton demi survival hidup kedua-duanya. Kelak bila sudah memenuhi tempoh hukuman, barulah berjinak-jinak semula dengan dunia badminton.

CHUN Seang. FOTO Zunnur Al Shafiq
CHUN Seang. FOTO Zunnur Al Shafiq

Hakikatnya apa yang akan dilalui hampir keseluruhan hidup mereka berdua di dunia ini akan malap. Imej mereka akan tercalar dan orang akan mengingati kedua-duanya hanya kerana kesalahan itu. Hukuman terlalu berat? Bagi saya tidak, sebab mereka bukan terbabit dengan satu dua kes tetapi banyak kes serta bertahun-tahun lamanya.

Jadi apa lagi yang boleh menafikan mereka berdua daripada dikenakan hukuman berat? Kepada semua pemain, jadikanlah ini sebagai pengajaran. Sejak zaman saya atau sebelum saya lagi, sebenarnya tiada jalan mudah untuk berjaya.

Ingatlah, duit bukan segala-galanya. Percaya kata-kata saya bahawa orang akan mengingati dan menghargai anda kerana sumbangan kepada negara. Bukan segumpal wang kertas yang mampu melalaikan sesiapa saja. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 7:01 AM