KANE meraikan gol kemenangan pada minit ke-93 di Stadium Nasional, Singapura, malam ini. — FOTO EPA
AFP

HARRY Kane meledak gol kemenangan menakjubkan pada minit ke-93 dari garisan tengah padang membantu Tottenham Hotspur mengatasi Juventus 3-2 pada aksi Piala Juara Antarabangsa yang menghiburkan di Singapura, malam ini.

Kapten England itu menyambut hantaran pendek Lucas Moura dan melakukan sepakan jauh melepasi penjaga gol gantian Juventus, Wojciech Szczesny ketika Spurs bangkit menewaskan juara Itali kendalian pengurus baharu Maurizio Sarri di Stadium Nasional.

“Ia mungkin satu daripada gol terbaik dalam karier saya. Saya nampak penjaga gol sering keluar dari garisannya dan terfikir jika saya berpeluang melakukan percubaan saya akan melakukannya dan ia ternyata masuk,” kata Kane selepas perlawanan.

Spurs yang menurunkan ramai pemain muda menguasai babak pertama ketika Juventus bergelut untuk menyesuaikan diri dengan taktik ‘Sarri-ball’ bermain dari bawah dengan hantaran pendek dan pantas.

RONALDO (tengah) melakukan percubaan sambil cuba dihalang pemain Spurs, Toby Alderweireld (kiri) dan Kyle Walker-Peters. — FOTO EPA

Kelab Liga Perdana Inggeris itu mendahului selepas setengah jam. Son Heung Min memulakan gerakan dan mengumpan kepada Troy Parrott namun percubaan leret penyerang berusia 17 tahun itu ditampan penjaga gol Gianluigi Buffon sebelum Erik Lamela menampan masuk bola muntah.

Juventus lebih cemerlang selepas rehat apabila mereka meningkatkan tempo dan penyerang gantian Gonzalo Higuain menyamakan kedudukan pada minit ke-56 dengan rembatan kencang selepas bertukar hantaran dengan Federico Bernardeschi.

Mendapat rangsangan susulan gol penyamaan itu, Juventus mendahului apabila Cristiano Ronaldo menyempurnakan hantaran Mattia De Sciglio empat minit kemudian, mendapat tepukan gemuruh peminatnya ketika dia digantikan sebaik selepas menjaringkan gol itu.

Spurs menyamakan kedudukan lima minit kemudian apabila wira separuh akhir Liga Juara-Juara, Lucas menyepak masuk hantaran leret pemain baru Tanguy Ndombele sebelum gol Kane yang membantu mengelak penentuan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 11:04 PM