KEVIN (tengah) bersama Setiausaha Agung Kedah FA, Tajul Hasnan Omar (kiri) serta Setiausaha Eksekutif Perak FA, Shahrul Samsudin selepas mesyuarat jawatankuasa pengelola kedua final Piala FA di Stadium Bukit Jalil. - FOTO Owee Ah Chun.
Firdaus Hashim


TIGA pengadil dari Jepun sah bakal mengadili pentas final Piala FA yang menemukan dua jaguh iaitu pasukan Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini, Sabtu ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam yang optimis kehadiran pengadil Jepun itu menyemarakkan lagi suasana final serta memberi kelainan pada final kali ini.

Jelasnya lagi, pengadil tempatan turut tidak terlepas daripada perhatian di mana seorang wakil negara akan membantu tiga pegawai pertandingan dari Jepun sebagai pengadil keempat bagi memantapkan lagi mutu pengadilan pada aksi getir itu.

“MFL dapat mengesahkan tiga pengadil dari Jepun akan terlibat dalam aksi final Piala FA di mana seorang pengadil tempatan kita akan bertindak sebagai pengadil keempat nanti.

“MFL percaya JFA (Persatuan Bolasepak Jepun) akan memberikan wakil-wakil terbaik mereka untuk menjadi pengadil final Piala FA.

“FAM yang membuat pelantikan (pengadil aksi final Piala FA) di mana saya juga percaya FAM akan memastikan pengadil itu sesuai dengan perlawanan ini dan saya berasa yakin final akan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kevin turut mengesahkan padang SNBJ kini berada dalam keadaan terbaik dan sedia untuk aksi final.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 11:07 PM