Penamat lebih baik menjadi harapan Zaqhwan. FOTO Honda Racing
Zaqhwan akan beraksi pada perlumbaan Tahan Lasak di Suzuka. FOTO Honda Racing
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA negara, Md Zaqhwan Zaidi mengharapkan penamat lebih baik pada penampilan kali keempat berturut-turut di perlumbaan Endurance Suzuka 8 Hours 2019 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hujung minggu ini.

Zaqhwan akan mengetuai pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa bergandingan bersama Andi Farid Izdihar dari Indonesia dan Teppei Nagoe dari Jepun.

Teppei diserapkan ke dalam pasukan pada saat-saat akhir bagi menggantikan pelumba Moto3 Thailand, Somkiat Chantra yang diketepikan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Saya mengalu-alukan penyertaan Teppei ke dalam pasukan walaupun pengumuman itu dibuat pada saat-saat akhir.

"Saya yakin Teppei mampu memberi sumbangan kepada pasukan kerana dia sudah biasa berlumba di Litar Suzuka.

Kami akan membentuk gandingan yang mantap untuk menghadapi perlumbaan itu nanti,” katanya.

Edisi 2017 adalah pencapaian terbaik untuk Zaqhwan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.

Suzuka 8 Hours adalah perlumbaan berprestij yang menampilkan pelumba ternama dunia dengan setiap pasukan dibarisi oleh tiga pelumba.

Perlumbaan itu benar-benar bakal menguji ketahanan jentera serta pelumba kerana dua elemen itu perlu konsisten untuk mengharungi perlumbaan selama lapan jam itu.

Seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman turut beraksi pada perlumbaan itu mewakili pasukan TK Suzuki Blue Max.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:39 PM