RIFDEAN tewaskan peninju dari UAE, Ahmad Almesmari.
Mohd Hafizee Mohd Arop

PENINJU Muay Thai Perak, Mohammad Rifdean Masdor,17, berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok selepas menewaskan peninju dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ahmad Almesmari, semalam.

Kemenangan Mohammad Rifdean dengan keputusan knockout (KO) serta aksi cemerlang dipamerkan memberikan harapan untuk sekali lagi melihat kejayaan negara selepas dilakukan Nur Amisha Azrilrizal pada 2016.

Ketua jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin berkata, Mohammad Rifdean yang bertanding dalam kategori 48 kilogram (kg) mempamerkan aksi cemerlang walaupun lawan lebih tinggi darinya.

"Aksi separuh akhir pada Sabtu ini dan Mohammad Rifdean dijangka bertemu peninju dari Vietnam. Saya berharap dia dapat mengekalkan momentum untuk membawa pulang pingat. Bernard yang kini berada di Bangkok bersama dua peninju Perak yang bertanding dalam kejohanan itu berkata, seorang lagi peninju, Mohamad Azeem Ismail, 22, akan berentap malam ini menentang peninju Jepun.

Katanya, dia berharap Mohamad Azeem yang bertanding dalam kategori 63.5 kg akan mengikut jejak langkah Mohammad Rifdean ke separuh akhir sekali gus memberikan harapan kepada negara untuk memperoleh pingat.

Menurutnya, kecergasan kedua-dua peninju itu kini berada pada tahap terbaik dan berharap mereka dapat merealisasikannya sekaligus membawa pulang emas kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:33 PM