SAIFUL Nizam (kanan) mahu meneruskan sentuhan jaringan ketika menentang Perak malam esok.

PAHANG Rangers akan turun ke Stadium Indera Mulia malam esok dengan menyasarkan kemenangan keenam berturut-turut.

Skuad bimbingan Taufik Yaiyah mengharungi permulaan sempurna dalam Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2019 setakat ini dengan memenangi semua lima perlawanan dan mereka tidak mahu Perak merencatkan momentum berkenaan.

“Motivasi dalam kalangan pemain begitu baik selepas kemenangan terbaru 8-3 ke atas Melaka. Saya yakin dengan sistem permainan dan momentum sekarang, kami mampu meraih tiga mata tetapi Perak juga sedang menunjukkan kebangkitan, mereka memenangi dua aksi terakhir selepas melalui permulaan perlahan.

“Jadi ia pastinya bukan perlawanan mudah lagi pun saya percaya Perak tidak mahu kecewa di hadapan penyokong sendiri. Mereka juga ada kekuatan tersendiri yang perlu kami waspada dan sesekali tak boleh terlampau yakin. Kekal fokus, berdisiplin sepanjang permainan,” ujar Taufik.

Mengumpul 15 mata, Pahang Rangers ketika ini berada di tangga kedua liga, dipisahkan satu mata dengan pendahulu Selangor namun masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan. Kemenangan ke atas Perak akan menyaksikan Pahang Rangers merampas kedudukan pendahulu dan mereka pastinya mengharapkan kuartet pemain kebangsaan diketuai Khairul Effendy Bahrin, Saiful Nizam Mohd Ali, Azwann Ismail dan Abu Haniffa Hassan yang menyumbang 17 daripada 23 gol untuk meneruskan prestasi cemerlang.

Sementara itu, Saiful Nizam yang meledak 12 gol dan mendahului carta penjaring MPFL 2019 menyasarkan untuk menambah koleksi jaringan.

“Jika boleh saya tidak mahu berhenti menjaringkan gol, ia memberi saya kepuasan dan lebih keyakinan. Saya gembira dengan sentuhan setakat ini, tetapi saya tahu saya boleh buat lebih baik. Saya tidak boleh mudah berpuas hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 10:33 PM