Nidzam (kanan) mahu FELDA lebih tajam pada saingan Piala Malaysia. FOTO NSTP


KEJAYAAN ke separuh akhir Piala FA dan kekal dalam saingan Liga Super menjadi motivasi buat Felda United FC berdepan kempen Piala Malaysia musim ini.

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil mahu anak buahnya memperbaiki prestasi masing-masing untuk menghadapi saingan lebih sengit sepanjang perlawanan peringkat kumpulan, jika mahu mara lebih jauh.

"Kita sudah terlepas beban apabila akhirnya berjaya kekal dalam Liga Super, jadi saya minta semua pemain berusaha lebih baik dan tampil lebih agresif bagi berdepan tekanan di peringkat kumpulan untuk Piala Malaysia.

"Berada dalam kumpulan bersama Selangor, Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah cukup mencabar dan semua pasukan ini mempunyai pemain berkualiti.

"Jadi, kalau mereka (pemain) mahu melangkah lebih jauh, mereka perlu tampil lebih berdisiplin dan konsisten dalam setiap perlawanan," katanya bekas pemain kebangsaan itu.

Mohd Nidzam berkata, status Selangor yang pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak 33 kali dilihat paling menggusarkannya, selain PDRM yang bakal menyertai Liga Super musim depan.

Katanya, walaupun prestasi Melaka tidaklah terlalu bagus dalam saingan Liga Super sebelum ini, beliau tetap berhati-hati dengan kejutan mungkin boleh dilakukan skuad itu.

"Untuk kempen Piala Malaysia kali ini, saya berharap pemain import kami, Khairul Amri Kamal terus menyumbang gol untuk pasukan.

"Selain itu, kami perlu cari formula lebih baik dalam mencatur setiap pemain yang ada selain melakukan perubahan taktikal bagi menyesuaikan pemain dengan posisi terbaik untuk mereka.

"Saya harap tidak ada lagi pemain berdepan (masalah) kecederaan bagi mengelak perancangan dibuat terpaksa dirombak semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 2:37 PM