AARON dan Wooi Yik tewaskan beregu China.
Saiful Affendy Sapran


SELEPAS hambar di Terbuka Indonesia minggu lalu, beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamer aksi meyakinkan pada Terbuka Jepun apabila mengesahkan tempat ke suku akhir.

Naib juara Seluruh England itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 22-20, 23-25, 21-14 ke atas pilihan ketujuh dari China, Hang Cheng Kai-Zhou Hao Dong pada perlawanan berlangsung selama sejam lima minit itu.

"Kami agak gembira dengan keputusan perlawanan tetapi masalah sama berlaku di set kedua.

"Ketika mendahului di set kedua kami gagal meraih mata kemenangan di saat genting," katanya ketika dihubungi.

Pada aksi suku akhir esok, gandingan negara itu akan bertemu pilihan pertama yang juara Terbuka Indonesia minggu lalu, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Ketika itu, Aaron-Wooi Yik kandas seawal pusingan pertama.

Turut mara ke suku akhir beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis 21-18, 21-11.

Walaupun menyamai rekod di Terbuka Indonesia minggu lalu, Liu Ying tidak mahu sekadar terhenti di peringkat itu saja.

Gandingan negara itu akan bertemu pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino. "Kami memang letak sasaran untuk ke separuh akhir. Harap esok kami lakukan kejutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:10 PM